Sabtu, 03 Jun 2017 08:07

KARANGAN SPOT SPM 2017 SEMANGAT KEJIRANAN

Ditulis oleh 
Nilaikan butir ini
(19 undian)

SEMANGAT KEJIRANAN

 (Laman Sesawang Asal: http://files.cikgu-sim.webnode.com/200000039-a95f7aa573/faedah%20memupuk%20semangat%20kejiranan.pdf )

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat". Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

      Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.


      Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

       Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

      Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.

      Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.

      Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

 

Langkah-langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat

Oleh Naqib Muhsin Bin Mathadi


                Mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini,  isu kelunturan semangat kejiranan dalam jiwa kalangan masyarakat semakin menjadi perbualan hangat serta sering memenuhi ruangan akhbar pada hari ini.  Semakin hari, isu ini sering ditujukan kepada generasi muda khususnya para remaja.  Memang tidak dapat dinafikan bahawa gejala sosial yang semakin berleluasa ini adalah salah satu punca kelunturan semangat kejiranan.  Bukan itu sahaja malahan menjadi punca dominan yang jelas dilihat pada hari ini.  Tambahan pula, semangat kejiranan seharusnya dipupuk melalui pengamalan sikap keperibadian yang mulia seperti bekerjasama, prihatin dan bertolak  ansur yang mampu membentuk jati diri untuk memperlihatkan kita sebagai masyarakat yang kaya dengan budi pekerti.  Sebagai masyarakat yang mendiami negara ini,  kita seharusnya bersyukur kepada Tuhan kerana masih dikurniakan keamanan.  Kita perlulah menyedari bahawa semangat kejiranan ini boleh dijadikan sebagai amalan gaya hidup intim yang wajar memandangkan negara kita telah merdeka sejak 58 tahun lamanya.  Menurut Tun Dr. Mahathir,  mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong,  kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri.  Hal ini secara tidak langsung menjadikan nilai-nilai murni yang diterapkan dapat dijadikan sebagai dorongan untuk meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.  Sememangnya kita perlu berfikir bahawa teknologi pada masa ini juga merupakan penyumbang kepada jurang pemisah antara masyarakat yang berbilang kaum ini.  Hal ini kerana, rambut sama hitam,hati lain-lain.  Persoalan yang sedang bermain-main dalam fantasi minda kita sekarang ialah adakah peranan kerajaan sahaja yang bertanggungjawab untuk memupuk semangat kejiranan? Jawapannya tidak. Hal ini kerana dalam usaha memupuk semangat kejiranan, memerlukan obligasi daripada pelbagai pihak untuk menyalurkan peranan mereka demi melahirkan masyarakat yang maju dari aspek sosial.  Oleh itu,  marilah kita menggunakan minda kelas pertama untuk mengupas topik kita dalam perbincangan ini iaitu langkah-langkah memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat secara terperinci untuk kepentingan semua pihak.

                Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah peranan ibu bapa amatlah signifikan untuk menanam nilai-nilai murni dalam jiwa cahaya mata mereka sejak kecil lagi.  Peribahasa Melayu ada mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya iaitu mendidik seseorang dengan menerapkan nilai-nilai murni sejak awal lagi.  Hal ini demikian kerana ibu bapa bertindak sebagai agen pertama dalam pembentukan sahsiah dan penjana kecemerlangan anak-anak. Bertitik tolak daripada itu,  ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu menunjukkan sikap berkasih sayang kepada anak-anak mereka. Memang pada realitinya, anak-anak akan mengikut tingkah laku ibu bapa mereka kerana mereka lebih mengenali ibu bapa mereka sendiri. Hal ini dapat dikaitkan dengan peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Selain itu, ibu bapa haruslah juga mengawasi perlakuan dan kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, berdarah setampuk pinang agar tidak terjebak dalam kancah negatif. Dalam meniti arus peredaran zaman yang semakin meruncing ini, sebilangan besar ibu bapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa akan tanggungjawab hakiki mereka untuk mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Hal ini kerana anak-anak merupakan anugerah dan tanggungjawab daripada Tuhan kepada ibu bapa untuk mencorak jiwa mereka ke arah kebaikan. Betapa rugilah ibu bapa jika tidak menyemai nilai-nilai murni dalam jiwa anak-anak kerana mereka berkemungkinan besar untuk menjejakkan kaki ke kancah negatif. Dalam hal ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong dan kunjung-mengunjungi sesama jiran tetangga. Daripada amalan ini , anak-anak muda mampu membuka mata, mencelikkan minda serta mengenali dunia luar yang mereka tidak pernah alaminya sendiri. Secara langsung,  sedikit demi sedikitmereka  berminat untuk melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini lagi. Begitu juga halnya dengan dengan kawasan kejiranan yang didiami oleh pelbagai kaum. Anak-anak muda pada hari lebih gemar menggunakan teknologi yang canggih dan mendapati bahawa mampu memberi pelbagai faedah tetapi sangkalan mereka salah kerana menggiatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan lebih berfaedah bukan untuk diri sahaja malahan boleh melahirkan masyarakat dan negara yang aman damai. Daripada semangat kejiranan ini juga dapat menjadikan negara sebagai negara contoh dan disegani oleh sebab terkenalnya kaum yang pelbagai mendiami Malaysia tetapi masih boleh membina kepercayaan antara satu sama lain. Jelaslah bahawa ibu bapa seharusnya menitikberatkan tanggungjawab untuk melahirkan anak-anak yang berjiwa kental untuk memupuk semangat kejiranan sesama sendiri.

                Meninjau skop yang lebih luas, tunggak utama untuk membangunkan semangat kejiranan ialah masyarakat. Pada realitinya, sesebuah masyarakat perlu menjalankan aktiviti yang selaras dengan usaha untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat  . Hal ini demikian, masyarakat sesebuah kawasan mampu mewujudkan pelbagai inisiatif untuk menjadikan hubungan kejiranan semakin erat. Masyarakat perlu mengaktifkan program Rukun Tetangga. Dalam konteks ini, pelaksanaan Rukun Tetangga merujuk kepada program yang melibatkan masyarakat untuk bekerjasama dalam menjaga keamanan sesebuah masyarakat. Dalam hal ini juga, Rukun Tetangga boleh melibatkan anak-anak muda untuk kegiatan yang berfaedah ini daripada menghabiskan masa secara berfoya-foya yang boleh meruntuhkan akhlak mereka. Sesebuah masyarakat yang progresif menunjukkan bahawa masyarakat tersebut mempunyai nilai-nilai murni yang penuh dalam jiwa. Memang tidak dapat dinafikan pelaksanaan Rukun Tetangga boleh melahirkan individuyang bertanggungjawab seterusnya mampu membentuk masyarakat yang berjiwa murni. Dalam hal ini juga, ada sesetengah masyarakat mempertikaikan pelaksanaan seperti ini sama ada ia dapat berjalan lancar ataupun tidak. Memang wajarlah kita mempercayai bahawa masyarakat sebegini perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni sejak peringkat awal lagi. Antara alpukah yang dapat dicadangkan selain yang dinyatakan, penduduk kawasan perumahan perlu menganjurkan aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong untuk membersihkan kawasan kediaman. Yang paling nyata pada hari ini, aktiviti bergotong-royong masih lagi diamalkan dan memang wajar diamalkan oleh setiap penduduk. Dalam menempuh era berteknologi ini, kita dapat menyaksikan bahawa semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat semakin rapuh. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa aktviti kemasyarakatan sememangnya sedang menempuh cabarannnya. Hal ini kerana, untuk mendirikan sesebuah masyarakat yang aktif melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan memerlukan kerjasama dan kerpercayaan antara penduduk. Oleh itu, kepercayaan dan kerjasama antara penduduk diperlukan untuk melancarkan aktiviti kemasyarakatan ini. Tegaslah bahawa masyarakat perlu menyedari amalan bekerjasama dalam menjalankan aktivit meliputi semua masyarakat memerlukan kerjasama dan kepercayaan penduduk yang  kukuh .

                Pada realitinya, memang tidak dinafikan bahawa pihak sekolah perlu mendidik murid-murid tentang kepentingan semangat kejiranan. Umum mengetahui bahawa sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan khususnya terdiri daripada masyarakat yang pelbagai kaum. Jelasnya di sini bahawa murid-murid perlu bekerjasama walaupun kita terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang berbeza. Hal ini kerana ia tidak akan memberi kesan kepada permuafakatan masyarakat. Pihak sekolah boleh menganjurkan aktiviti yang melibatkan daripada murid-murid. Selain itu, ibu bapa perlu menyokong tindakan pihak sekolah secara membenarkan anak-anak mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang sedemikian. Kendatipun ada sesetengah pihak ibu bapa tidak mempersetujui dengan aktiviti yang dijalankan. Mereka juga tidak membenarkan anak-anaknya untuk menyertai aktiviti tersebut. Di sinilah kita jelas menyaksikan sikap perkauman telah terwujud kerana tidak mahu melibatkan diri untuk menyertai aktiviti tersebut oleh sebab kegiatan ini melibatkan pelbagai kaum dan agama. Dalam konteks ini, pihak sekolah perlu menggalakkan murid-murid untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Selain itu, pihak sekolah tidak usah menzahirkan keraguan akan tindakan yang diambil. Jika kita memulakan sesuatu dengan perkara yang positif,maka hasil yang bakal diperoleh sudah tentu sesuatu yang positif juga. Sebagaimana yang kita maklumi, aktiviti kokurikulum akan diadakan pada setiap hari Rabu. Aktiviti kokurikulum merujuk kepada aktiviti yang dijalankan oleh setiap persatuan unit beruniform masing- masing. Memang tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti ini perlu diteruskan . Seterusnya, pihak sekolah boleh menganjurkan aktiviti hari kantin,hari koperasi dan hari kokurikulum. Kita mengetahui bahawa aktivitiseperti ini memerlukan kerjasama yang kuat antara murid dan guru. Hal ini demikian kerana aktiviti-aktiviti tersebut menjalankan perniagaan. Dalam konteks ini, murid-murid dan guru berganding bahu untuk menjayakan perniagaan yang dijalankan. Selain daripada murid dan guru, murid-murid turut berganding bahu sesame murid. Memang tidak dapat dinafikan bahawa secara tidak langsung semangat bekerjasama dapat diterbitkan dalam jiwa murid-murid. Selain itu, nilai kerjasama ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan murid-murid apabila mereka mencuba untuk menggiatkan diri dalam aktivit kemasyarakatan ini. Izharlah bahawa, pihak sekolah perlu memberi galakkan kepada murid-murid untutk menyertai aktiviti yang melibatkan nilai kerjasana agar jiwa mereka mudah untuk disemai dengan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

                Setelah meniti perbincangan di atas secara mendalam dan terperinci, mauduk tentang langkah-langkah memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat akan dibugar dari perspektif peranan kerajaan untuk memupuk semangat kejiranan. Kita seharusnya tidak memandang sebelah mata terhadap peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan. Peristiwa 13 Mei 1969 masih segar dalam ingatan setiap insan di Malaysia.  Tragedi berdarah yang melibatkan rusuhan kaum pada ketika itu perlu menjadi iktibar bagi setiap generasi. Sesungguhnya peristiwa 13 Mei yang mencatatkan titik hitam dalam sejarah perpaduan kaum di Malaysia wajar direnungi agar pisang tidak berbuah dua kali. Dalam konteks ini,pihak kerajaan perlu memainkan peranan yang amat penting untuk mengelakkan perselisihan faham antara kaum di samping memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Dalam konteks ini, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen yang berkisarkan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Umum mengetahui bahawa, cabaran yang dihadapiterlalu banyak seperti gejala sosial, isu perkauman dan sebagainya. Hal ini demikian, kerajaan perlu menjalankan kempen di kawasan kejiranan. Di samping kita memupuk semangat kejiranan, kita juga mampu menimba ilmu pengetahuan cara untuk memupuk semangat kejiranan secara tidak langsung. Ada juga sesetengah masyarakat memandang enteng terhadap pelaksanaan program seperti ini. Sesungguhnya, masyarakat seperti ini lebih memerlukan perhatian kerana masih kurang pengetahuan tentang kepentingan semangat kejiranan. Untuk pengetahuan, masyarakat yang saling mempercayai dan bekerjasama mampu membangunkan modal insan dan negara yang maju dari aspek sosial,politik seterusnya ekonomi. Bertitik tolak daripada itu, pihak kerajaan juga boleh menganjurkan Rumah Terbuka Malaysia. Dalam hal ini, rumah terbukapada kebiasaannya akan diadakan setiap kali perayaan utama diraikan. Antara contoh yang dapat kita lihat pada hari ini, sambutan hari terbuka diraikan sangat meriah meskipun negara kita mengalami cabaran yang sukar untuk dihadapi. Dalam konteks ini juga, sambutan rumah terbuka mampu melahirkan mesyarakat yang sentiasa mengenali budaya kaum. Memang tidak dapat dinafikan bahawa, pelabagai kemaslahatan yang mampu diperoleh daripada pelbgai pihak yang meliputi daripada pelbagai lapisan masyarakat. Izharlah bahawa, kerajaan merupakan tunggak utama selain peranan ibu bapa, masyarakat dan pihak sekolah untuk membina keperibadian masyarakat yang utuh dengan semangat kejiranan.


                Tidak ada kusut yang tidak terlerai, tidak ada keruh yang tidak jernih. Oleh itu, kata sepakat seia sekata perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk berganding bahu melaksanakan langkah-langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Jika semua pihak berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, Insya-Allah langkah-langkah yang dilaksanakan akan memperbuahkan hasil yang lumayan dan jelas dilihat untuk tatapan masyarakat pada hari ini. Usaha yang dilaksanakan itu perlulah bersungguh-sungguh bak mutiara kata genggam bara api biar sampai jadi arang agar usaha ini bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mehupun melepaskan batuk di tangga sahaja malahan menjadikan usaha-usaha ini sebagai pendorong untuk masyarakat berjaya dalam kemajuan sosial. Besarlah harapan kita untuk menyaksikan usaha-usaha ini memberi kesan yang berlarutan kepada masyarakat untuk diamalkan agar negara kita terus disegani dan dicontohi oleh masyarakat dunia.

[1738 pp]



Hasil nukilan,

Naqib Muhsin Bin Mathadi,

 

 

 

 

 

 

 

Baca 34547 kali Dipinda pada Sabtu, 03 Jun 2017 08:14

Detik Gemilang

UPSR

11-4, 18 SEPTEMBER 2017

PT3

09-11 OKTOBER 2017

SPM

6 NOV - 4 DIS 2017

 

 

JERAYAWARA BM 2017

 TEKNIK MENJAWAB BM SPM 2017

5 Mei 2017 (Maahad Muar)

 

Untuk Tempahan

Boleh hubungi:

+6011-58309328

 

 

 

 

5127000
Today
Yesterday
This Week
Last Week
This Month
Last Month
All days
2728
3865
26334
5063015
173685
209471
5127000

Your IP: 54.196.2.131
Server Time: 2017-11-20 21:00:59