Saturday, 03 June 2017 07:52

KARANGAN SPOT SPM 2017 CABARAN MENGHADAPI KERJAYA MASA DEPAN

Written by 
Rate this item
(16 votes)

CABARAN MENGHADAPI KERJAYA MASA DEPAN

(Laman Sesawang Asal : http://karanganspm.com/2015/10/28/karangan-kemahiran-kemahiran-sebagai-persediaan-untuk-menghadapi-cabaran-era-globalisasi/ )

 

 Di Malaysia, memasuki alam pekerjaan adalah menjadi destinasi terakhir kepada kebanyakan pelajar. Sama ada pada peringkat sijil, diploma atau ijazah mereka mula mencongak-congak akan peluang pekerjaan yang bakal diceburi. Walau bagaimanapun, dalam persaingan untuk memasuki pasaran pekerjaan, kelulusan akademik sahaja belum tentu menjanjikan seseorang itu boleh menjawat jawatan yang dicita-citakan. Sebaliknya, individu yang memiliki pelbagai kemahiran di samping akademik yang baik sudah pasti dapat memenuhi kriteria yang diperlukan oleh para majikan. Oleh hal yang demikian, seseorang pelajar itu wajarlah memperlengkap dirinya dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan sebelum melamar sebarang pekerjaan.

 

      Antara kemahiran terpenting yang harus dikuasai ialah kemahiran berkomunikasi. Kemahiran berkomunikasi ialah kebolehan istimewa yang menggabungkan kecekapan seperti petah berbicara, matang dalam melontarkan idea dan pendapat serta berani lagi yakin apabila berhadapan dengan pelbagai peringkat klien. Hal tersebut amatlah penting memandangkan dunia terbuka pada hari ini memerlukan seseorang itu berkebolehan untuk mengeluarkan hujah yang bernas serta pendapat yang matang. Kebolehan dalam berkomunikasi juga memberikan ruang kepada individu tersebut memperluas rangkaian klien dan tetamu. Melalui interaksi yang baik pada pelbagai peringkat pasti memberi impak besar apabila pelbagai peluang kerjaya mudah diperoleh. Pada peringkat nasional, tokoh-tokoh istimewa seperti Dato Dr. Fadhillah Kamsah, Mahathir Lokman, Dr Fatimah Al Zahra serta ramai lagi telah berjaya membina kerjaya yang lumayan hasil kebijaksanaan berkomunikasi yang dimiliki oleh mereka. Demikianlah yang dimaksudkan oleh peribahasa, budi menunjukkan hati, bahasa menunjukkan bangsa.

      Di Malaysia, bahasa-bahasa utama seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Arab, Perancis dan Jepun mula mendapat tempat di hati masyarakat. Signifikan menguasai pelbagai bahasa memang tidak dapat dielakkan lagi dalam era globalisasi tanpa sempadan seperti sekarang. Keupayaan seseorang menguasai pelbagai bahasa memberikan ruang yang luas untuknya menjalinkan jaringan komunikasi dan seterusnya menghidu pelbagai peluang kerjaya. Dalam konteks negara perindustrian seperti Malaysia, keupayaan menguasai pelbagai bahasa menjadikan bonus seseorang itu menjawat pelbagai jawatan penting seperti penterjemah, pegawai perhubungan awam, agen perdagangan antarabangsa dan pegawai utama di mana-mana kedutaan. Dengan hal yang demikian, seyogialah rakyat negara ini mengambil peluang mempelajari pelbagai bahasa agar peluang kerjaya yang terbuka menjadi milik kita. Tanpa penguasaan bahasa yang sesuai dengan tuntutan globalisasi, nescaya kita akan terus tertinggal dan terperap bagaikan katak di bawah tempurung. Oleh itu, atas dasar tuntutan globalisasi dan massa kita hendaklah mampu menguasai kemahiran pelbagai bahasa.

      Pembawaan dengan sifat sederhana, kemas dan berperawakan yang yakin adalah antara faktor seseorang itu mudah diterima dalam mana-mana agensi atau organisasi. Demikian pula apabila dalam alam pekerjaan, kebolehan menyesuaikan diri dalam khalayak menjadi sumber terpenting untuk seseorang itu berjaya. Sewajarnya, sebelum melangkah ke alam kerjaya, pastikan diri kita memperloleh suatu kemahiran yang paling penting, iaitu kemahiran membuat penampilan diri. Penampilan diri adalah berhubung kait dengan cara berpakaian, gaya bertutur dan bijak menyesuaikan diri dalam pebagai lantai khalayak.  Kemahiran ini perlu dipelajari semasa pelajar masih pada peringkat sekolah dan lebih-lebih lagi di institusi pengajian tinggi. Penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum dan koakademik  membolehkan individu belajar  cara-cara bergaul, kebolehan membuat keputusan  dan sentiasa mesra khalayak. Oleh sebab itu, remaja hendaklah tampil dengan perawakan yang baik, berfikiran positif dan menjauhi sikap menyendiri ibarat kera sumbang.

      Kemahiran teknologi adalah antara cabaran terbesar yang mesti dikuasai oleh setiap remaja. Pada hari ini dianggarkan lebih 200 ribu graduan yang menganggur akibat kesukaran untuk memasuki pasaran kerja. Namun demikian, rata-rata graduan yang memiliki ijazah dalam bidang teknologi seperti kejuruteraan, elektronik dan perniagaan  sangat mudah diterima oleh majikan. Oleh itu, bagi memenuhi pasaran kerja  yang mementingkan bidang kepakaran dan kemahiran, para remaja hendaklah tahu akan potensi diri masing-masing  dan memilih mana-mana bidang yang berkaitan dengan teknologi. Kemahiran seperti pengendalian mesin, arka dan reka bentuk membolehkan graduan dalam bidang ini amat laris bagaikan pisang goreng panas. Selaras dengan matlamat tersebut pelbagai institusi kemahiran seperti Politeknik, Pusat Latihan Industri dan IPT yang berorientasi teknologi tumbuh bak cendawan selepas hujan. Ayuh, remaja sekalian, apa lagi yang ditunggu? Perahu sudah di air, pendayung di dalam genggaman harungilah samudera nan terbuka.

      Dalam dunia yang semakin dikuasai oleh pengaturcaraan maklumat, kemahiran dalam bidang ICT sentiasa memberikan kelebihan kepada individu. Pada hari ini semua urusan yang bermula dari kaunter hadapan hinggalah kepada membuat keputusan yang paling dasar bergantung penuh kepada akses komputer.  Golongan remaja kini mesti celik komputer dan mempunyai pengetahuan secara profesional dalam bidang pengaturcaraan,  ‘programming’ dan perisian. Golongan  remaja hendaklah memiliki sekurang-kurangnya kemahiran asas komputer seperti ‘Office’, ‘Powerpoint’,  ‘Excel’, ‘Adobe’ dan boleh melayari Internet. Malahan,  seperkara yang amat penting juga, kebolehan berbahasa Inggeris juga amat penting dalam menguasai teknologi maklumat ini. Oleh hal yang  demikian, bersedialah dari awal agar anda menjadi anak muda yang lengkap dengan pengetahuan sebelum turun ke pentas kerjaya, sejajar dengan peribahasa, hilang dicari, terapung direnangi, tenggelam diselami.

      Pada hakikatnya, seperti yang dikatakan  oleh orang-orang lama, anak-anak muda mestilah boleh ditolak ke tepi mahupun ketengah, bak kata peribahasa ‘benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, naik ke darat menggunung sasa dan terlontar ke udara menyinar bak kejora’. Begitulah hakikatnya, anak muda pascamilenium datangnya dinantii, perginya dicari dan hilangnya diratapi.

  

 Persiapan sebelum menghadapi alam kerjaya

 

Zaman modenisasi memberi pelbagai cabaran kepada setiap individu untuk merebut peluang  dalam pasaran kerjaya yang terbentang luas. Sudah pasti sesuatu kerjaya yang ditawarkan menjadi rebutan dan  mendapat persaingan yang sengit. Oleh itu, setiap individu perlu melengkapkan diri masing-masing seawal usia remaja membuat persediaan untuk menempuh alam kerjaya pada masa hadapan. Persoalannya, apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh setiap individu? Saya akan menghuraikan secara terperinci persediaan yang perlu dilakukan oleh setiap individu dalam perenggan-perenggan selanjutnya.

       Persediaan yang utama untuk menempuh alam kerjaya adalah setiap individu perlu mendapatkan kelayakan akademik yang tertinggi. Antara kelayakan akademik yang perlu diperolehi sekurang-kurangnya Kelulusan diploma hingga ke peringkat master dalam bidang yang diminati selaras dengan kajian dan kehendak pasaran kerjaya semasa.  Hal ini disebabkan, memiliki pengetahuan yang tinggi dalam sesuatu bidang memberi keyakinan diri. Kelayakan yang tinggi membolehkan seseorang individu dapat menggunakan ilmunya memberi idea, cadangan, pandangan yang bernas dan menyelesaikan masalah berkaitan kerjaya yang akan disandang. Jelaslah, mendapatkan kelayakan akademik yang tinggi disertai dengan pengetahuan kajian pasaran kerjaya menjadi input utama untuk menempuh alam kerjaya.

     Selanjutnya, setiap individu yang telah mempunyai kelayakan akademik perlu mendapatkan pengalaman kerjaya sebanyak yang mungkin. Antara pengalaman kerjaya yang boleh disertai pada awal usia remaja termasuklah pengalaman dalam perhubungan dengan pelanggan, pengurusan dan pentadbiran perniagaan, bidang pemasaran, pengurusan kewangan dan bidang logistik dalam  mana-mana syarikat. Pengalaman dalam bidang kerjaya yang tiada kaitan dengan kerjaya yang bakal disandang akan menjadi nilai tambah kepada kelayakan akademik yang dimiliki. Selain itu, pengalaman yang dimiliki dapat mengurang kos pengurusan untuk melatih pelatih baru yang diambil untuk bekerja. Sesungguhnya, pelatih yang memiliki pengalaman kerjaya dan kelayakan akademik yang tinggi mengatasi tawaran skala gaji yang lebih tinggi dari pelatih yang hanya bersandarkan kepada kelayakan akademik.

      Seterusnya, setiap individu juga perlu membuat persiapan mengasah kemahiran berkomunikasi. Antara kemahiran berkomunikasi yang perlu dimiliki termasuklah mempelajari kemahiran berucap, kemahiran mendengar, kemahiran mempengaruhi orang lain, kemahiran menulis secara verbal dan bahasa tubuh melalui kelas-kelas yang dianjurkan pelbagai pihak. Kemahiran komunikasi membolehkan setiap Individu mempunyai  keupayaan untuk petah berbicara, mampu mempengaruhi orang lain, menjadi seorang pendengar yang baik, mampu melontarkan idea, berani dan berkeyakinan menghadapi kerenah masyarakat. Memiliki pekerja yang mempunyai kemahiran komunikasi, sudah pasti dapat memberi sinergi kepada produktiviti, tarikan  dan sokongan dari semua arah dan menceriakan organisasi. Tuntasnya, kemahiran berkomunikasi merupakan salah satu kemahiran insaniah yang perlu dikuasai oleh setiap individu ke alam kerjaya.  

      Di samping itu, setiap individu perlu mempunyai ketahanan fizikal dan mental. Antara eleman ketahanan fizikal dan mental termasuklah setiap individu mampu berdikari, berdisiplin dalam melaksanakan tugasan, bijak membuat keputusan dan seorang yang proaktif yang boleh dipelajari melalui kem-kem motivasi yang dianjurkan oleh sekolah atau pihak kolej. Kelebihan semangat berdikari mendorong setiap individu  betah dan sentiasa memiliki keyakinan diri yang tinggi dalam menyelesaikan segala cabaran yang mendatang. Berdisiplin  dalam menjalankan tugas pula dapat memastikan seseorang melaksanakan proses tugasan yang diamanahkan dengan penuh bertanggungjawab. Manakala bijak membuat keputusan menjadikan individu seorang pemikir yang matang, pintar dan berkeyakinan. Jelaslah, mempunyai ketahanan fizikal dan mental adalah satu aset menuju ke alam kerjaya bagi setiap individu.

       Setiap individu juga perlu menguasai pelbagai bahasa utama dunia. Antara bahasa utama yang perlu dikuasai termasuklah bahasa Inggeris, bahasa Jepun dan bahasa Jerman. Hal ini disebabkan, bahasa Inggeris menjadi bahasa perhubungan yang digunakan di seluruh dunia. Manakala bahasa Jepun dan bahasa Jerman adalah bahasa yang digunakan dalam bidang teknologi. Menguasai pelbagai bahasa membolehkan kita menambah pelbagai input ilmu melalui pengajian dan bacaan buku-buku ilmiah berkaitan kerjaya pilihan kita. Selain itu, keupayaan bertutur dalam pelbagai bahasa juga dapat meningkatkan keyakinan dalam diri dan membuka peluang yang lebih luas  kepada setiap individu untuk merebut peluang kerjaya yang disediakan diseluruh dunia. Selanjutnya, individu turut  dapat mengeratkan hubungan dan berkomunikasi  yang baik dalam organisasi yang dimiliki oleh penutur jati bahasa tertentu. Jelaslah, menguasai pelbagai bahasa memberi impak yang besar kepada seseorang individu ke alam kerjaya.

      Kesimpulannya, untuk melorongkan diri ke alam kerjaya  yang menjadi idaman, setiap individu perlu melakukan pelbagai persediaan yang lengkap dari segi mental, fizikal dan kelayakan yang ditetapkan sesuatu tawaran kerjaya. Segala persediaan boleh diperolehi melalui pengalaman, pengajian secara formal atau tidak formal.

 

682 patah perkataan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Read 16443 times Last modified on Saturday, 03 June 2017 08:00

Detik Gemilang

UPSR

11-4, 18 SEPTEMBER 2017

PT3

09-11 OKTOBER 2017

SPM

6 NOV - 4 DIS 2017

 

 

JERAYAWARA BM 2017

 TEKNIK MENJAWAB BM SPM 2017

5 Mei 2017 (Maahad Muar)

 

Untuk Tempahan

Boleh hubungi:

+6011-58309328

 

 

 

 

5199959
Today
Yesterday
This Week
Last Week
This Month
Last Month
All days
1004
2768
9948
5169614
40102
206542
5199959

Your IP: 54.163.61.66
Server Time: 2017-12-14 08:16:19