Saturday, 03 June 2017 07:37

KARANGAN SPOT SPM2017 DISIPLIN ASAS KEJAYAAN

Written by 
Rate this item
(0 votes)

 DISIPLIN ASAS KEJAYAAN AKADEMIK

 OLEH: Hamidah Hashim

(Laman Sesawang Asal: http://aniza3046.blogspot.my/2011/01/disiplin-asas-kejayaan-akademik.html)

Alah bisa tegal biasa, sememangnya amat sukar untuk menanam disiplin yang tinggi dalam diri seseorang apatah lagi bagi seseorang yang bergelar pelajar. Namun, sekiranya pelajar tersebut telah dididik dan diasuh oleh ibu bapa agar terdidik dengan disiplin yang tinggi, pastinya amat sukar untuk menafikan bahawa pelajar tersebut akan terus-menerus mencipta kejayaan dalam akademik. Malangnya, harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kita dapat lihat anak muda pada hari ini begitu angkuh dan bangga sekiranya mereka melakukan perkara-perkara yang melanggar prinsip disiplin. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), ada menyentuh mengenai pembangunan modal insan iaitu aset negara yang perlu disuntik nilai tambahnya. Perkara seumpama ini memberi gambaran kepada kita bahawa kerajaan sendiri telah menyedari bahawa tahap disiplin para pelajar pada hari ini semakin kronik. Sememangnya, tiada bukti yang cukup padu untu menafikan bahawa "Disiplin Asas Kejayaan Akademik".


Disiplin mampu melatih pelajar supaya lebih peka dan bijak dalam mengatur serta menyusun masa. Malah apa-apa yang lebih bernilai ialah disiplin mengajar para pelajar bagaimana untuk mematuhi masa tersebut. Pujangga Arab melalui kata-katanya Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, dia akan memotong kamu , jelas memberitahu kita bahawa masa itu amat penting untuk ditepati agar tidak terbuang begitu sahaja. Oleh sebab itulah disiplin perlu dipupuk dalam jiwa setiap pelajar kerana merekalah yang bakal mencorak landskap pembangunan material, fizikal dan sosial pada era revolusi digital akan datang. Namun sesiapapun dapat berfikir bahawa sikap malas adalah musuh ketat amalan hidup berdisiplin. Olah sebab itulah, sokongan daripada ibu bapa serta usaha padu daripada pihak kerajaan adalah sesuatu yang amat diperlukan bagi mengubah perspektif pelajar tersebut sekali gus mengikis perasaan malas. Sekiranya para pelajar diasuh dengan norma hidup berdisiplin, secara tidak langsung mereka akan menyedari betapa berharganya setiap saat yang dilalui dalam hidup mereka. Hal ini akan menjadi satu inisiatif kepada mereka agar tidak menyia-yiakan masa tersebut dengan gejala-gejala sosial yang semakin menjerat remaja kita kini. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa masa itu ibarat emas bagi diri seseorang yang memiliki serta mengenali apa itu erti disiplin yang sebenarnya.


Tidak cukup dengan itu, disiplin turut dapat memupuk jati diri yang ampuh dalam diri pelajar. Disiplin mengajar pelajar supaya tegas dengan prinsip dan nilai moral pelajar itu sendiri. Sebagai contoh, di kem tentera, matlamat utama ialah membentuk jati diri bagi menanam semangat cinta akan tanah air serta berani dan tegas dalam perjuangan menentang musuh. Sebab itulah mereka dilatih supaya memiliki tahap disiplin yang tinggi bagi mencapai matlamat tersebut. Bagi seseorang pelajar pula, disiplin akan menjadikan mereka ini sebagai seorang yang rajin, tekun , berkeyakinan tinggi dan gemar menyahut cabaran yang secara tidak langsung akan lahirlah pelajar yang memiliki jati diri dalam rohani dan jasmani mereka. Kualiti seumpama inilah yang amat diperlukan oleh seorang pelajar bagi meraih kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan mempraktikkan amalan hidup yang penuh dengan disiplin, pelajar itu sendiri tidak akan terpesong daripada norma hidup yang teratur serta memberi banyak faedah kepada pelajar. Melalui jati diri yang diperoleh hasil daripada norma hidup yang teratur dan berdisiplin, pelajar pastinya akan bersungguh-sungguh menimba ilmu bagi mencapai matlamat yang satu sebagai pelajar. Justeru, jelaslah di sini bahawa, disiplin ibarat tiang tumah yang menjadi tunjang utama kekukuhan jati diri dalam diri para pelajar.


Seterusnya, disiplin turut mampu memelihara para pelajar supaya tidak terjebak dalam gejala-gejala sosial yang mampu memusnahkan masa depan tanpa disedari oleh pelajar itu sendiri. Tanpa disiplin, pelajar tidak akan ada matlamat yang jelas serta tidak tahu tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Tanpa matlamat yang jelas ini, pelajar cenderung untuk mencari keseronokan hidup bersama rakan-rakan yang berpendirian sama seperti mereka yang tidak meletakkan pelajaran sebagai sesuatu yang amat bernilai dalam minda dan jiwa mereka. Ternyata hasrat Perdana Menteri yang bercita-cita mahu melahirkan warga glokal yang berakar nasional dan berakal internasional tidak akan tercapai sekiranya tahap disiplin para pelajar semakin terus -menerus menunjukkan penurunan. Kita dapat lihat pada hari ini, terlalu ramai anak muda yang majoritinya ialah pelajar telah terjebak dalam kancah sosial yang akhirnya pasti akan merugikan negara. Mereka inilah yang tidak memiliki disiplin untuk mengawal diri mereka daripada terjebak dalam perkara tersebut. Sudah pastilah pelajar yang langsung tidak melakukan aktiviti-aktiviti ini akan menjadi pelajar yang cemerlang rohani, jasmani dan intelek. Sekali lagi, hal ini menjadi bukti yang cukup ampuh untuk menyatakan bahawa disiplin asas kejayaan akademik. Justeru , jelaslah bahawa disiplin adalah kontra kepada gejala-gejala sosial.


Kita telah menyedari bahawa disiplin dapat membuka mata pelajar tentang nilai sesaat masa, disiplin juga telah melahirkan bakal pmimpin yang memiliki jati diri yang cukup ampuh untuk mentadbir negara suatu hari nanti, malah disiplin dapat membantu pelajar menentukan wawasan dan hala tuju yang jelas. Tokoh falsafah Barat, Cecil B. De Mille melalui kata-katanya, Orang yang berjaya ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang . Hal ini memberi gambaran kepada kita bahawa tanpa disiplin itu, tidak perlulah kita bermimpi untuk meraih kejayaan. Para pelajar harus mengetahui bahawa sememangnya menentukan wawasan serta hala tuju adalah amat penting seperti yang dinyatakan dalam buku teks Pendidikan Sivik dan kewarganegaraan Tingkatan Empat. Dengan adanya disiplin, pelajar tersebut akan terus berusaha dan berusaha untuk mencapai wawasan tersebut. Pelajar yang tidak memiliki disiplin pastinya tidak terfikir untuk menentukan matlamat hidup. Oleh sebab itulah, ramai pelajar yang hanya memikirkan keseronokan hidup semata-mata tanpa memikirkan impak perbuatan mereka terhadap masa depan. Sebagai intiha, sememangnya disiplin amat penting dalam menentukan wawasan hidup serta berusaha mengejar wawasan tersebut. Tahap disiplin yang tinggi membantu pelajar mengukir sejarah yang tersendiri.


Natijahnya, tidak ada jalan pintas yang lain untuk meraih kecemerlangan dan kegemilangan tanpa memiliki serta mempraktikkan amalan hidup berdisiplin. Hakikatnya, walau berapa banyak cara yang kita ketahui untuk mencapai kejayaan, tetapi tanpa adanya disiplin, kita tidak akan mampu untuk melaksanakan cara itu dengan teratur apatah lagi dengan berkesan. Pujangga Melayu ada mengatakan bahawa belia pada hari ini adalah cerminan negara pada masa akan datang. Sesekali kita melihat sekali lalu remaja kita pada hari ini yang begitu ghairah dengan kemewahan serta keseronokan yang ada. Hari ini telah timbul berbagai-bagai jenis masalah sosial seperti dadah, merokok, ponteng sekolah, buli, pergaduhan dan lain-lain. Kadangkala, perkara-perkara ini membuat saya terfikir, inikah generasi cerminan negara pada masa akan datang? kita menyedari, semua pihak tidak sesekali memandang enteng masalah ini. Namun , kita sendiri pastinya bersetuju bahawa amat sukar untuk mengembalikan seseorang kembali ke pangkal jalan.

 

 DISIPLIN TERAS KEJAYAAN

      Mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini, masyarakat dinamik, madani serta inovatif amat diperlukan untuk mencapai kejayaan agar dapat anak watan di negara ini  mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Perancis. Hal ini demikian, disiplin merupakan cerucuk fundamental bagi kejayaan sesebuah bangsa. Secara holistik, disiplin merupakan pemangkin bagi melahirkan sebuah komuniti yang progresif, berketerampilan dan berupaya mendepani setiap kekangan untuk mengharungi arus perubahan dunia yang semakin mencabar. .

      Disiplin dapat melahirkan pelajar yang mempunyai keinsanan yang syumul. Hal ini demikian, disiplin merupakan asas bagi sesebuah kejayaan. Contohnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah rajin untuk mengulang kaji pelajaran, bangun awal ke sekolah, membuat semua kerja sekolah yang diberikan dan mematuhi peraturan sekolah. Tanpa disiplin, tidak mungkin seseorang pelajar dapat melakukan perkara-perkara tersebut. Malahan, budaya pesimistik dalam kalangan pelajar mestilah dikikis demi menyambut gamitan menara impian. Tamsilnya, Nik Nur Madihah yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008 mendapat   20 A dalam peperiksaan awam. Beliau tidak menjadikan kemiskinan yang membelenggu hidupnya sebagai batu penarung. Sebaliknya, disebabkan kerajinan, kegigihan, ketekunan dan yang paling perdana iaitu disiplin beliau yang tinggi dan minda yang positif telah menyuntik semangat dirinya untuk menggapai  kejayaan persis kata tokoh terkemuka,  Cecil B. DeMille iaitu orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang.  Jelaslah bahawa disiplin merupakan formula yang paling manjur untuk anak watan ini meraih kegemilangan dalam kehidupan.

            Selain itu, ibu bapa juga memerlukan disiplin yang tinggi untuk melahirkan sebuah keluarga sakinah.  Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang berat dalam sesebuah institusi keluarga. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak agar menjadi warganegara yang berguna kerana anak yang baru lahir ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorak, mewarnai dan membentuk keperibadian cahaya mata mereka. Tidak lain tidak bukan, disiplinlah yang diterapkan dalam diri ibu bapa untuk membentuk diri anak mereka yang gemilang. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga mestilah berupaya menjadi rol model yang baik kerana segala perwatakan ibu bapa akan dicontohi anak-anak bak kata peribahasa, bagaimana acuannya, begitulah kuihnya. Malahan, ibu bapa bukan sahaja perlu mendidik anak-anak, mereka juga perlu menyediakan segala keperluan serta membesarkan anak-anak. Izharnya, ibu bapa juga hendaklah mempunyai disiplin diri untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia dan melahirkan anak yang membudayakan  sifat-sifat  mahmudah dan menghindari segala unsur  mazmumah..

             Sementelahan itu, pekerja-pekerja sektor kerajaan mahupun swasta juga tidak terlepas daripada mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada  mereka. Golongan pekerja berkolar putih dan biru ini mestilah menepati masa, bertanggungjawab dan amanah. Contohnya, seorang pegawai bank mestilah menepati masa untuk datang ke tempat kerja. Beliau juga hendaklah bertanggungjawab melakukan segala tugas yang diberikan dan berintergriti terhadap bidang tugas  yang melibatkan kewangan. Usahlah kita diibaratkan seperti dalam peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi.  Dalam abad ini, ketuanan dan keterbilangan sesebuah negara bersandarkan kehebatan ekonominya. kita mahukan generasi yang diibaratkan duduk meraut ranjau, tegak meninjau jarak bukannya pemimpin yang hanya tahu menakik darah di batu. Kita perlu lakukan transformasi ekonomi melalui generasi yang bijak meneroka dan mencuba sesuatu yang baru dan hasilnya mengagumkan seluruh planet ini Ternyata bahawa, dalam melakukan sesuatu pekerjaan disiplin diri amat penting kerana kejayaan tidak datang bergolek.

             Seterusnya, sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah berdisiplin dan memandu secara berhemah. Disiplin yang diamalkan dalam pemanduan dapat mengurangkan kadar kemalangan yang semakin hari semakin meningkat. Seorang pemandu mestilah mematuhi peraturan jalan raya dengan memasang tali pinggang keledar, mematuhi had laju dan peka terhadap papan tanda di tepi jalan. Secara tidak langsung, kadar kamalangan yang sudah mencapai tahap mencemaskan ini lebih-lebih lagi semasa musim perayaan dapat dikurangkan.  Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tiada mahu langsung kemalangan jalan raya pada musim perayaan walaupun ramai menganggapnya mustahil.  Menurutnya,keadaan "nahas sifar" ini boleh dicapai kerana kajian menunjukkan kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan oleh faktor manusia dan bukannya faktor kenderaan atau jalan tidak elok. Memang Ops Sikap itu membantu kerana tanpa Ops Sikap, kita tidak dapat membayangkan betapa banyak lagi yang akan mati di atas jalan raya. Persoalannya takkan sehingga kita terpaksa mengharapkan Ops Sikap sepanjang tahun, tetapi pemandu itu sendiri tidak mahu mengubah sikap mereka sendiri. Slogan "Anda Mampu Mengubahnya" memang tepat sebagai peringatan kepada semua pengguna jalan raya.

Jelaslah bahawa, pemandu yang berdisiplin dan berhemah dapat membantu mengurangkan kehilangan nyawa yang lebih banyak dan ini bertepatan dengan slogan, pandu cermat, jiwa selamat.

             Di samping itu, sebagai pengguna  mestilah bijak mengutamakan disiplin ketika  berbelanja. Dalam dunia yang serba canggih dan wujudnya Internet, masyarakat dapat membeli dan berbelanja dengan hanya mengakses maklumat hanya  di hujung jari sahaja. Masyarakat yang naïf dengan mata kebendaan yang melalaikan akan memboros dan berbelanja berpaksikan  hawa nafsu dan bukannya keperluan. Oleh sebab itu, golongan ini mestilah mempunyai disiplin diri agar dapat berjimat-cermat dan bijak merancang keperluan mereka. Secara tidak langsung, golongan ini dapat mengelakkan diri daripada berhutang dengan bank atau  lintah darat yang sentiasa mengintai peluang untuk mengaut keuntungan . Mukhtasarnya, individu yang dapat mengawal diri daripada terlalu mengikut hawa nafsu dan berlatih untuk mendisiplinkan diri agar berbelanja secara berhemat pasti dapat mengecapi kehidupan yang sempurna dan mempunyai sumber kewangan yang stabil bak kata peribahasa  beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

             Akhirulkalam, disiplin merupakan cerucuk utama pembangunan negara kerana dengan disiplin kita mampu untuk mengadun satu kombinasi usaha yang cukup padu agar nama Malaysia gah di seluruh pojok dunia. Siapa menyangka bahawa tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia. Perkara-perkara ini menunjukkan bahawa orang yang  berdidiplin dan memiliki  minda yang positif ialah orang  yang tidak gentar akan perubahan dan menyesuaikan dirinya dengan perubahan tersebut. Dengan itu, sifat itu dengan sendirinya mampu membina sebuah masyarakat yang kreatif dasawarsa ini.  Oleh itu, marilah kita bergabung sinergi dan merencanakan  langkah sederap untuk mengotakan iltizam serta aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 yang bakal tiba.

 

 

 

 

 

 

Read 118 times Last modified on Saturday, 03 June 2017 07:58

Detik Gemilang

UPSR

11-4, 18 SEPTEMBER 2017

PT3

09-11 OKTOBER 2017

SPM

6 NOV - 4 DIS 2017

 

 

JERAYAWARA BM 2017

 TEKNIK MENJAWAB BM SPM 2017

5 Mei 2017 (Maahad Muar)

 

Untuk Tempahan

Boleh hubungi:

+6011-58309328

 

 

 

 

4250988
Today
Yesterday
This Week
Last Week
This Month
Last Month
All days
2066
2925
4991
4219768
84005
163082
4250988

Your IP: 54.80.93.234
Server Time: 2017-06-27 15:46:44